Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat mempamerkan semangat semangat kekitaan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama sempena menyambut Hari Kebangsaan 2016 hari ini.

Mengekalkan tema 'Sehati Sejiwa' sambutan hari bersejarah itu disertai ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang memenuhi setiap lokasi sambutan di seluruh negara.

Tema tersebut dikekalkan untuk 2016 kerana perlunya memupuk semangat bersatu padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Di Dataran Merdeka, lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme yang diserikan melalui persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 15,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Foto Bernama
Hujan renyai seketika tidak menghalang mereka untuk hadir seawal jam 6 pagi untuk memeriahkan acara sambutan.

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.


Sejurus tiba, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi diketuai Mejar Azadlee Rafedzi Kamal Rafedzi.

Dataran Merdeka kemudiannya bergema dengan nyanyian lagu Negaraku yang mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serentak itu 14 das tembakan kehormat turut kedengaran yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Foto Bernama
Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Muhammad Hilal Asraf Nor Hisham dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, melibatkan 59 pelajar pelbagai kaum.

Ini diikuti oleh acara padang daripada kira-kira 2,000 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

ang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Aminah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melaungkan Merdeka sebanyak tiga kali sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59. - Foto Bernama
Segmen seterusnya membabitkan perbarisan dan perarakan yang menampilkan 10 segmen utama daripada komponen kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraan awam, keselamatan negara, pertunjukkan udara dan komponen rakyat bersatu.

Penonton khususnya kanak-kanak turut ceria menyaksikan pelbagai maskot daripada watak-watak utama animasi terbitan syarikat tempatan antaranya BoboiBoy, Keluang Man dan 'Didi and Friends' yang menyertai kontinjen animasi.

Antara yang turut menarik perhatian orang ramai ialah perbarisan aset milik pasukan keselamatan negara termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menampilkan 157 buah pelbagai jenis kenderaan yang dimiliki PDRM sejak 1950 hingga kini.

Turut mendapat perhatian adalah kehadiran wira dan wirawati negara Sukan Olimpik Rio 2016 yang diarak menaiki bas Hop On Hop Off.

Sementara itu, warga media sosial turut berkongsi kemeriahan sambutan perbarisan Hari Kebangsaan 2016.

Nasib si rendang.... Nak suh dukung, berat melebihi muatan #gambarehsansuami

A photo posted by Syikin (@asyikin1012) on




A photo posted by @misscekodok on



Merdeka!!!!!

A photo posted by Ahmad Amsyar Azman (@amsyaroo) on



#liveupdate Dato Lee Chong Wei #merdeka #rioolympic

A photo posted by Asma Asmie (@asmaasmie) on



Live from Merdeka Square, HAPPY MERDEKA MALAYSIA!! #ilovemalaysia #happymerdeka

A photo posted by Anand Rampersaud (@downtownbrownvancity) on


Sementara itu Bernama melaporkan selain sambutan gilang-gemilang di Dataran Merdeka, negeri-negeri turut merangka pelbagai program bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini, yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga warga asing.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai orang ramai menyambut Hari Kebangsaan peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh.

Sebanyak 116 kontinjen melibatkan 6,960 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan tersebut.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa perbarisan kehormatan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh hari ini. - Foto Bernama
Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat menyaksikan acara sambutan yang berlangsung di Dataran Batu Burok.

Keberangkatan baginda bersama kekandanya Tengku Nadhirah Zahrah disambut Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan exco kerajaan negeri.

Perarakan yang disertai 5,236 peserta daripada 159 kontinjen pelbagai agensi dan pelajar sekolah bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Dataran Batu Burok, sejauh tiga kilometer.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kemeriahan sambutan kali ini dan dianggarkan lebih 10,000 orang hadir secara berperingkat bermula pukul 7 pagi.

Di JOHOR, ribuan rakyat tempatan dan warga asing membanjiri bandar Tangkak seawal 6 pagi untuk menyaksikan perarakan daripada 111 kontinjen melibatkan 3,663 peserta.

Sambutan dimulakan sejurus ketibaan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yanG memulakan acara dengan pelepasan 59 ekor burung pipit sebagai simbolik 59 tahun Malaysia bebas dari penjajah, disusuli perarakan kontinjen yang membawa 'Jalur Gemilang', diikuti beberapa kontijen lain termasuk Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM).

Di SABAH, acara perbarisan dan perarakan diadakan secara sederhana dihadiri kira-kira 15,000 orang termasuk peserta kontinjen yang mula membanjiri Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu, seawal 6 pagi tadi.

Sebanyak 175 kontinjen membabitkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, persatuan etnik Sabah termasuk 25 kenderaan menyertai perbarisan serta perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri.

Sambutan itu yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta barisan Kabinet negeri, antara lain dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Sabah yang menggabungkan elemen tarian dan puisi bertemakan Perjuangan.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta barisan kabinet negeri Sabah ketika menghadiri perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah hari ini. - Foto Bernama
Di MELAKA, seramai 9,881 peserta daripada 227 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, persatuan dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Bandar Hilir.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, isterinya Toh Puan Zurina Kassim, dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyertai kira-kira 3,000 termasuk pelancong asing menyaksikan perarakan itu.

Di NEGERI SEMBILAN, perarakan disambut meriah dengan kehadiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud di Bangunan Majlis Perbandaran Seremban.

Turut hadir menyaksikan perarakan melibatkan 12,901 peserta itu ialah Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, Speaker Datuk Dr Awaludin Said, anggota exco dan ketua-ketua jabatan.

Di SARAWAK, sambutan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman yang menyaksikan 79 kontinjen dari jabatan-jabatan kerajaan serta NGO mengambil bahagian dalam acara perarakan, melakukan lintas langsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan tiga Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang terdiri daripada Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Di KELANTAN, Hari Kebangsaan 2016 disambut secara sederhana membabitkan 1,749 peserta mewakili 59 kontinjen jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta 500 hadirin di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu bermula pada 8.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan perbarisan 59 Jalur Gemilang dan 59 bendera negeri Kelantan sebagai simbolik 59 tahun sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini, oleh agensi keselamatan, jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil pasukan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang memenangi perbarisan terbaik sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 peringkat negeri Kelantan bertemakan 'Sehati Sejiwa' di stadium mini majlis daerah Ketereh hari ini. - Foto Bernama
Di PERLIS, sambutan dihadiri Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid diiringi Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Nor Aswana Omar.

Sambutan diadakan di perkarangan Dataran Merdeka, Kangar melibatkan perarakan daripada 89 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta NGO dan dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Di PULAU PINANG, kira-kira 6,000 peserta mewakili 91 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan di Padang Kota Lama dimulakan dengan perbarisan Jalur Gemilang utama Kontinjen Tentera Rejimen 509 Askar Wataniah dan Brass Band Tentera 3 Armor Diraja.

Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff turut menghadiri sambutan itu bersama lebih 7,000 pengunjung berbilang bangsa.

Turut hadir, Ketua Menteri Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Law Choo Kiang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus, barisan EXCO kerajaan negeri pimpinan DAP serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.

Di PAHANG, sambutan dimulakan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta kepimpinan negeri ke padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 di Kuantan.

Seramai 7,600 peserta daripada 86 kontinjen menyertai acara perarakan itu dengan ATM menampilkan tiga kenderaan berperisai AV 8+8 'Gempita' yang membuat lintas hormat di hadapan Tengku Abdullah selain empat pesawat Sukhoi SU-30MKM dan Bombardier yang melakukan pertunjukan udara.

Antara pertunjukan menarik lain adalah demonstrasi tempur tanpa senjata oleh pasukan ATM serta aksi demonstrasi kebombaan daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.