Bahang World #QuranHour kian terasa apabila promosi digerakkan Rumah Ngaji di seluruh negara termasuklah di Perak.

Penggerak Rumah Ngaji Negeri Perak, Datuk Ayub Mohamed berkata, Kembara Gelombang World #QuranHour dilaksanakan di sekitar Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, baru-baru ini bagi menyemarakkan lagi program yang akan dilaksanakan pada 7 Jun nanti.

Katanya, lebih mengujakan bagi Daerah Hilir Perak, Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Leftenan Kolonel (B) Datuk Saharuddin Nazari dan Pegawai Daerah Hilir Perak, Shahrul Naim Radzali memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran World #QuranHour.

“Kita juga mendapat kerjasama dari Pejabat Agama Daerah Teluk Intan dan Bagan Datuk melalui Pegawai Tadbir Agama Daerah.

“Program World #QuranHour ini akan berjalan serentak di semua masjid di dua daerah ini termasuk sekolah, pasar raya dan sebilangan pejabat kerajaan,” katanya pada Isnin.

Ayub berkata, usaha murni Yayasan Ummah Ikhlas yang bertujuan bagi meneruskan legasi bagi tahun ketiga memartabatkan al-Quran mendapat sokongan amat baik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, melalui program ini juga, orang ramai dapat menghayati al-Quran melalui pembacaan seterusnya difahami dan diamalkan.

“Semoga al-Quran menjadi manual kehidupan dan melahirkan karakter sebagai insan Muslim sejati.

“Program World #QuranHour ini juga sekali gus berjaya melahirkan penyatuan nasional dan antarabangsa,” katanya.