Sejumlah sembilan kes baharu dikesan di negara ini sehingga tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 96 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga orang warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

"Empat kes import tersebut adalah dari Indonesia (2 kes), Singapura (1 kes) dan Pakistan (1 kes).

Sumber Facebook DGHisham

"Daripada lima kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara Malaysia iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Baki empat kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu di Sarawak (4 kes)," memetik kenyataan tersebut.

Tambahnya, empat kes tersebut melibatkan satu kes saringan kontak rapat dalam Kluster Mambong, satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau dan dua kes daripada Kluster Stutong, iaitu kluster baharu.

Beliau pada masa sama memaklumkan sejumlah lima kes telah pulih dan dibenarkan discaj selain tiada kematian direkodkan.