KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik agar mengutuk tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang menghina Malaysia dalam satu persembahan komedi, baru-baru ini.

Memberitahu Dewan Rakyat, beliau berkata, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon juga perlu memberikan jaminan agar perkara sedemikian tidak berulang.

"Walaupun perkara itu tidak berlaku dalam Dewan, tetapi memandangkan Dewan Rakyat bersidang, saya berharap pihak-pihak di sebelah sana (pembangkang) juga akan menyokong perkara ini.

"Sebagai backbencher, saya mengambil kesempatan ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beliau walaupun saya sedar Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon telah membuat permohonan maaf.

"Tetapi saya berharap perkara ini tidak diulangi dan minta kerajaan dan kementerian supaya meminta sama ada Menon agar memberi syor bahawa perkara ini tidak akan berulang.

"Saya berharap ahli Parlimen di sebelah sana juga akan bangun bersama-sama, menggunakan kesempatan Parlimen bersidang untuk mengutuk tindakan Jocelyn Chia dan meminta dia tidak mengulangi kenyataan berkenaan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, Rayer membangkitkan Peraturan 36 Dewan Rakyat berhubung perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati dan bermusuh-musuhan antara kaum.

Jelas beliau, tindakan pelawak wanita itu memperlekeh dan membuat sindiran telah menguris hati rakyat Malaysia.

Terdahulu, Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau Jocelyn.