KUALA LUMPUR: Kesemua 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan komited dan beriltizam untuk memastikan negara terus stabil, bagi meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia.

Perkara itu dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesemua parti juga sepakat, bahawa Malaysia mesti terus menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan, agar kehidupan rakyat lebih makmur dan sejahtera.

"Selain itu Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemikkan agama dan bangsa secara jumud yang memudaratkan," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menekankan aspek kestabilan sebagai kunci utama untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan, yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan rakyat di Borneo.

"Bahkan Sarawak merupakan contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama bebas daripada sebarang fahaman ekstremisme agama yang songsang.

"Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab, untuk merencanakan program yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi," katanya.


-- BERNAMA