KANGAR: Kerajaan akan melakukan penelitian semula ke atas semua projek yang berada di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) selepas pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penelitian semula itu turut melibatkan projek-projek di negeri Perlis seperti Perlis Inland Port (PIP), Pelabuhan Sanglang selain projek melibatkan keterjaminan makanan.

Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya untuk mengupayakan kedudukan ekonomi di negeri itu yang dilihat lebih 'malap' jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Soal projek-projek itu, kita (akan) bincang dengan koridor utara (NCER), di mana Menteri Besar (Perlis) telah kemuka kepada kerajaan negeri beberapa projek (seperti) Pelabuhan Sanglang, Inland Port dan sekuriti makanan,

"Itu adalah hal yang (akan) diberi tumpuan tetapi lebih baik kita teliti sedikit (lagi) selepas Bajet (dibentangkan), bulan Februari (saya perlu) tumpu belanjawan (tahun ini), selepas itu baru saya start (untuk teliti)," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengadakan perbincangan sebaik mungkin mengenai projek-projek berkenaan memandangkan negara menghadapi  kekangan kewangan ketika ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri akan menyusun projek-projek ekonomi negeri dalam memastikan pembangunan sektor berkenaan mampu ditingkatkan sekali gus memberi kesan positif kepada Perlis pada tahun 2023.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan yang sama dengan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam urusan membabitkan pelaburan di negeri itu.

Pada 20 Disember lalu, Mohd Shukri menyatakan Bajet Perlis 2023 memfokuskan kepada tiga teras iaitu peningkatan ekonomi melalui pelaburan, peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negeri yang mampan.

Bajet sulung kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu berjumlah RM293.36 juta melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’.