Kempen pilihan raya kini memasuki fasa minggu terakhir dan hari ini merupakan hari Rabu terakhir untuk kesemua yang bertanding memegang gelaran sebagai 'calon Yang Berhormat'.

Bagi semua calon yang bertanding, segala strategi dan usaha digerakkan semaksimum mungkin bagi 'memujuk' rakyat memberi undi kepada mereka.

Bagi penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Osman Aziz, beliau yakin dengan mandat yang pernah diberi penduduk Jerlun sebelum ini.


Katanya, manifesto yang diumumkan terutamanya membabitkan pesawah amat komprehensif dan terperinci demi manfaat jangka masa panjang buat majoriti pengundi di sini.

"Selain subsidi, biasa yang kita telah berikan sebanyak RM2,456.50 setiap hektar setiap musim, kita juga berjaya menyelaraskan harga padi di seluruh negara, termasuk negeri Kedah kepada RM1,200 setan dan dinaikkan juga subsidi harga padi daripada RM248.10 kepada RM300.

"MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) secara keseluruhannya telah mendapat peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk menaik taraf perparitan, saliran dan pengairan, dari 18 meter satu hektar kepada 30 meter satu hektar.

"Ini projek mega! Kalau kita buat bangunan tinggi kita akan nampak. (Tapi) oleh kerana 'parit gila' ni, atau tertiary drain, berselerak ke sana sini, jadi tak nampak sangat," katanya merujuk kepada cara pembinaan parit yang lebih sistematik.

Beliau ditemui Astro AWANI ketika sesi ramah mesra bersama pengundi di Kampung Melele.

Malah, beliau pada masa sama berhasrat menggalakkan usaha pesawah memantapkan lagi pengeluaran dalam industri asas tani berasaskan inisiatif yang telah disediakan kerajaan.

Osman berhasrat galakkan usaha pesawah memantapkan lagi pengeluaran. - Foto: Astro AWANI/Hilal Azmi

Tanda aras

Bagi Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula, keupayaannya memenangi kerusi Parlimen Jerlun sebelum ini menjadi penanda aras terbaik.

Biarpun tidak dianggap sebagai anak tempatan di Jerlun, ia bukan penghalang untuk beliau merampas kerusi Parlimen Jerlun daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz yang juga rakannya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata faktor anak tempatan bukan penentu seseorang itu akan menang, malah sebelum ini beliau pernah memenangi kerusi tersebut atas tiket BN semasa pilihan raya umum 2008 lalu.

“Pertamanya calon tak semestinya orang tempatan. Saya sendiri dianggap calon luar walaupun saya dari Kubang Pasu daerah yang sama, Parlimen yang berbeza.

“Waktu saya bertanding dulu pun masih boleh menang lagi. Bila saya pindah ke Ayer Hitam pun macam tu juga,” selepas melawat pasar pagi berdekatan Pejabat MADA Kodiang pada Rabu.

Mukhriz yakin pengundi akan menilai seseorang calon itu berdasarkan rekod prestasinya semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini dan itu adalah tawaran beliau kepada pengundi di Jerlun.

Mukhriz berkata, faktor anak tempatab bukan penentu seseorang calon itu menang. - Astro AWANI/Hilal Azmi

Isu kos sara hidup

Sementara itu, Abd Ghani Ahmad, calon Pas untuk Parlimen Jerlun pula beriltizam untuk mengetengahkan isu kos sara hidup khususnya di Parlimen Jerlun untuk perhatian kerajaan Malaysia.

“Sekiranya Pas dan Gagasan Sejahtera berjaya menguasai kerajaan Malaysia, satu perubahan drastik akan dibuat untuk memastikan kos sara hidup kembali stabil.

“Antara pendekatan yang akan dibuat ialah, mengkaji semula kos petrol, menaikkan subsidi petrol, mengurangkan GST dan semua ini berkait rapat dengan masyarakat terbanyak.

“Kalau dua perkara ini dapat dikurangkan dan diatasi, maka kos kehidupan kembali normal. harga barangan tidak terlalu tinggi dan kos kehidupan seharian dapat ditangani dengan baik,” katanya selepas membuat lawatan rumah ke rumah di Ayer Hitam pada Rabu.

Pertembungan tiga penjuru di Parlimen Jerlun kali ini amat menarik kerana ia menjadi yang pertama kali dalam sejarah pilihan raya.

Namun, 54,132 pengundi ada pilihan tersendiri bergantung kepada calon yang mampu memenuhi aspirasi serta keperluan mereka.

Di Jerlun, 91.2 peratus pemilih adalah Melayu, 6.9 peratus Cina, 0.1 peratus India dan 1.8 peratus lain-lain kaum.

Abd Ghani mengetengahkan isu kos sara hidup. - Astro AWANI/Hilal Azmi