Seorang senator Belanda adalah antara 192 penumpang yang dikenalpasti sebagai warganegara Netherlands yang terbunuh dalam nahas pesawat penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh dekat Ukraine pada Khamis.

Senator Willem Witteveen dari Parti Buruh terbunuh bersama isteri dan anaknya, lapor akhbar NL Times di Belanda.

Kenyataan media di laman web Dewan Senat itu menyebut Witteveen jadi senator sejak 15 Januari 2013. Beliau sebelum itu pernah jadi senator selama 8 tahun antara 1999-2007.

Kenyataan itu dipaparkan selepas speaker dewan itu, Ankie Broekers-Knol dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh Menteri Dalam Negeri.

"Beliau sangat berdukacita dengan berita ini," kata kenyataan itu.

Witteveen, 62, pernah jadi profesor undang-undang di Universiti Tilburg. Bapanya merupakan Menteri Kewangan Netherlands antara 1967 hingga 1971 dan selepas itu mengetuai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) antara 1973 hingga 1978.

Penerbangan MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal dengan penumpang warganegara Belanda paling ramai.

Pesawat Malaysia Airlines jenis Boeing 777, model yang sama dengan pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah Republik Rakyat Donetsk.

Pemberontak yang pro-Rusia itu bagaimanapun menafikan tuduhan yang dibuat oleh Ukraine dan sebaliknya mendakwa tentera Ukraine yang menembak jatuh pesawat berkenaan.