PUTRAJAYA: Penyebaran sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat merupakan cabaran utama dalam usaha menyemarakkan patriotisme dan memperkukuh perpaduan di negara ini, kata Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin.
Beliau berkata, cabaran itu perlu diberi perhatian serius kerana Malaysia terdiri daripada rakyat dengan pelbagai latar belakang yang perlu berkongsi aspirasi sama untuk membangunkan negara.
“Kita mesti menjadikan negara kita negara terbaik, hidup aman damai dan jangan bergaduh kerana kalau salah ambil tindakan, negara yang telah kita bina ini akan runtuh dengan cepat sebab kita terdiri daripada pelbagai latar belakang sangat berbeza,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Kreatif Program Gelombang Aku Kasih Malaysia (GAKM) Apresiasi Ekspresi Merdeka Peringkat Kebangsaan 2026.
Mengenai usaha menerapkan semangat patriotik dan perpaduan, Roslan berkata, perkembangan geopolitik, perubahan ekonomi dan perubahan iklim menyedarkan rakyat bahawa pertahanan dan kesejahteraan negara merupakan tanggungjawab bersama.
Beliau berkata, rakyat tidak boleh bergantung kepada mana-mana pihak untuk mempertahankan negara, sebaliknya perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan negara.
Sehubungan dengan itu, Roslan berkata, AKM akan memperluas usaha penerapan semangat patriotik kepada semua kelompok masyarakat termasuk komuniti minoriti dan golongan orang kurang upaya (OKU), bagi memastikan tiada rakyat Malaysia terpinggir.
“Orang bisu, orang pekak pun kita akan pergi (santuni). Maksudnya tidak akan ada yang terpinggir… Mereka juga menyumbang kepada negara ini dan mempunyai peranan serta tanggungjawab untuk membangunkan negara yang tercinta ini,” katanya.
Mengenai Pertandingan Video Kreatif GAKM, beliau berkata, pertandingan yang dianjurkan buat kali kedua itu menerima 189 penyertaan dari seluruh negara melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar institusi pendidikan tinggi awam, penjawat awam, pengamal media digital dan pempengaruh media sosial.
Mohd Zulhafin Che Noh dari Kemaman, Terengganu muncul juara menerusi video bertajuk Tanda Kasih, manakala Mohamad Hafizi Mohd dari Pulai Chondong, Kelantan kedua menerusi karya Akan Ku Kasih Malaysia.
Dhiya’ Wafaa Johari dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula tempat ketiga menerusi video Apa Itu Merdeka?.
Roslan berkata, pertandingan itu menjadi antara platform untuk rakyat menzahirkan jati diri, perpaduan dan kecintaan terhadap negara menerusi karya kreatif, selain menyebarluaskan mesej patriotisme kepada masyarakat.
-- BERNAMA