Seorang pengundi tidak sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih apabila menemui ajal selepas terjatuh ketika menunggu giliran untuk mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kampung Simee di sini, Ahad.

Jurucakap media pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kontinjen Perak, Supt Maszely Minhad berkata V Selvaraju, 56, pengsan dan meninggal dunia di tempat kejadian, pada pukul 12.35 tengah hari tadi.

"Menurut keluarga mangsa mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya.

Difahamkan, mangsa yang tidak bekerja dan berasal dari Buntong itu mati akibat sesak nafas ketika menunggu giliran untuk memeriksa saluran mengundinya.