Seorang pemandu maut manakala seorang lagi pemandu serta penunggang motorsikal cedera parah dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian arah Semenyih pada pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, kejadian berlaku jam 8.15 pagi tadi ketika lelaki berusia 18 tahun memandu kenderaan jenis Proton Persona dalam perjalanan dari arah Semenyih ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan motosikal.

Akibat rempuhan, mangsa memandu Perodua Kancil berusia 50 tahun maut ditempat kejadian manakala pemandu Proton Persona dan penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kedua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.