IPOH: Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, Tambun, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 9.06 malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun ke lokasi.
Menurutnya, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah dan seorang lagi lelaki, juga berusia 18 tahun, tidak sedarkan diri.
“Sewaktu jentera EMRS tiba, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham sedang memberikan bantuan awal pernafasan (CPR) pada mangsa yang tidak sedarkan diri dan mangsa yang cedera diberikan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan size-up dan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba dan bomba sukarela tamat sepenuhnya jam 10.20 malam.