LEBIH separuh daripada penduduk dunia akan mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2035.

Menurut laporan Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2023, pihaknya meramalkan 51 peratus daripada penduduk dunia atau lebih empat bilion orang akan mengalami obesiti dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Laporan itu mendapati kadar obesiti meningkat dengan cepat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan di negara berpendapatan rendah.

Presiden Persekutuan Obesiti Dunia, Louise Baur menyifatkan data itu sebagai amaran jelas untuk penggubal dasar bertindak, bagi elak keadaan lebih buruk.

Laporan ini mendedahkan kebimbangan mengenai kadar peningkatan obesiti paling cepat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Tambah beliau, kerajaan dan penggubal dasar di seluruh dunia perlu melakukan semua yang mereka mampu untuk mengelak menyalurkan kos kesihatan, sosial dan ekonomi kepada generasi muda.

Laporan itu mendapati obesiti kanak-kanak boleh meningkat lebih daripada dua kali ganda daripada paras 2020, kepada 208 juta lelaki dan 175 juta perempuan menjelang 2035.

Kos ditanggung masyarakat akibat keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan berat badan berlebihan anggarkan lebih AS$4 trilion setiap tahun menjelang 2035, atau tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Laporan itu menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) untuk penilaiannya.

Selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), skor BMI melebihi 25 adalah berat badan berlebihan dan lebih 30 adalah obes.

Pada 2020, 2.6 bilion orang termasuk dalam kategori ini atau 38 peratus daripada populasi dunia.

Laporan itu juga mendapati bahawa hampir semua negara yang dijangka menyaksikan peningkatan terbesar dalam obesiti pada tahun-tahun akan datang adalah negara berpendapatan rendah atau sederhana di Asia dan Afrika.

Data itu akan dibentangkan kepada penggubal dasar dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.