MALAYSIA
Separuh tawaran haji ditolak akibat simpanan tidak cukup, TH mahu ubah sikap pendeposit

Abdul Rashid berkata, situasi itu menuntut pendekatan baharu iaitu untuk mengembalikan peranan TH sebagai institusi kewangan Islam yang diyakini, bukan sekadar pengendali ibadah haji. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Cabaran terbesar Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini ialah memastikan umat Islam di Malaysia konsisten menabung, agar mampu menunaikan ibadah haji apabila menerima tawaran.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain mendedahkan sehingga kini, jumlah pemohon haji telah mencecah 4 juta orang, namun separuh daripada tawaran haji yang dikeluarkan setiap tahun terpaksa ditolak kerana simpanan tidak mencukupi.
“Daripada 9.6 juta pendeposit, hampir 53 peratus hanya mempunyai kurang daripada RM1,300, sedangkan kos sebenar haji kini mencecah RM30,000, manakala bayaran yang dikenakan kepada jemaah B40 ialah RM15,000. Dengan jumlah simpanan sebegitu, mereka masih jauh daripada mencukupi untuk menunaikan haji,” katanya.
Menurut Abdul Rashid, situasi itu menuntut pendekatan baharu dalam strategi Tabung Haji dengan fokus utama mengembalikan peranan TH sebagai institusi kewangan Islam yang diyakini, bukan sekadar pengendali ibadah haji.“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama. Dunia kewangan semakin kompetitif, pelbagai platform pelaburan dan simpanan lain menarik perhatian orang ramai. Tabung Haji perlu menyaingi pasaran dengan strategi pemasaran moden, perkhidmatan digital yang mesra pengguna, serta produk simpanan yang lebih relevan dengan generasi muda,” ujar tokoh perbankan negara itu.
Abdul Rashid turut menekankan bahawa kejayaan transformasi Tabung Haji akan diukur melalui pertumbuhan simpanan.
“Pada masa ini, kita ada RM93 bilion simpanan pendeposit. Sasaran saya ialah meningkatkan jumlah ini kepada RM110 bilion menjelang akhir 2027. Ini satu tanggungjawab besar kerana trend simpanan baharu semakin merosot, dan kebanyakan pertumbuhan datang daripada pelaburan semula dividen. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada itu, kita perlukan pertumbuhan organik melalui tabungan baharu,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun fokus diberikan kepada aspek kewangan, Tabung Haji tetap komited untuk menyokong syarikat-syarikat Bumiputera.
“88 peratus daripada kontrak Tabung Haji diberikan kepada syarikat Bumiputera, manakala 100 peratus kakitangan kami ialah Bumiputera dan Muslim,” katanya.
Tokoh berusia 78 tahun itu turut mendedahkan hasil kajian pasaran yang dilaksanakan TH terhadap 2,000 responden yang menunjukkan kebanyakan umat Islam hanya mula menabung serius untuk haji selepas umur 40 tahun, lantas membuktikan tempoh menabung terlalu singkat untuk mencapai jumlah yang diperlukan untuk melakukan rukun Islam kelima itu.
“Oleh itu, sangat penting untuk kita mendidik golongan muda supaya mula menabung lebih awal, secara konsisten dan sistematik. Dengan cara itu, beban simpanan akan berkurangan dan peluang menunaikan haji lebih cerah,” tambahnya.
Pada masa sama, pengasas Bank RHB itu juga mempertahankan keputusan TH melantik sebuah konsortium pakar yang berperanan dalam empat bidang utama melibatkan pengurusan projek, penyelidikan pasaran, komunikasi & latihan, serta strategi kewangan, walaupun langkah itu menerima kritikan kerana anggota konsortium terbabit bukan syarikat milik muslim.
“Semua aktiviti ini dipantau rapi oleh jawatankuasa khas dan lembaga pengarah. Kita mahu pastikan setiap langkah transformasi ini berlandaskan kepakaran profesional serta memberi hasil yang nyata kepada pendeposit,” jelas Abdul Rashid.
“Kesedaran untuk menabung perlu dipupuk sejak muda. Saya yakin dengan usaha transformasi ini, Tabung Haji akan kembali menjadi pilihan utama umat Islam, bukan sahaja sebagai pengendali haji tetapi juga sebagai institusi kewangan Islam terkemuka,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami