KAJANG: Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin  membidas kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO yang melabelkan mereka yang lompat parti sebagai pengkhianat itu adalah penakrifan dan persepsi yang ditimbulkan oleh parti itu. 

"Kalau PAU (Perhimpunan Agung UMNO) mengatakan orang lompat parti itu sebagai pengkhianat, sepatutnya pengkhianat tak boleh jadi Menteri Dalam Negeri. Tetapi hari ini Menteri Dalam Negeri duduk di sini dan tak pun mengkhianati rakyat.

"Yang pentingnya adalah rakyat kerana parti yang mengatakan kita lompat atas tujuan tertentu hanyalah pesepsi yang ditimbulkan oleh mereka. Pada saya, saya telah menjelaskan bahawa sesuatu yang berlaku adalah kehendah Allah kerana kepentingan kepada perkara itu berlaku.

"Ketika itu rakyat di luar sana hidup dalam kedaan resah termasuk isu perkauman, keagamaan dan ketika itu UMNO sebagai parti pembangkang," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu  itu berkata, oleh itu, semua pihak seharusnya melihat isu itu dalam perspektif yang positif.

Justeru, katanya, tindakan itu adalah untuk menstabilkan kerajaan.

"Hari ini kerajaan stabil cuma ada sesetengah pihak yang melaungkan seolah-olah kerajaan gagal mentadbir urus negara. Jadi ini menunjukkan sikap sesetengah orang yang tidak langsung memikirkan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin kepada rakyat.

“Kita ada masih setahun lebih lagi, mengapa tidak kita sama-sama memberikan buah fikiran daripada fikir tentang politik hari-hari dan hanya mereka yang tiada perkara lain, agendanya hanyalah nak cari tempat atau kuasa atau jawatan dalam negara," katanya.

Ujar Hamzah, rakyat sudah sedar mereka yang melaung-laungkan perkara seperti ini semata-mata hanya mahu merosakkan pemikiran rakyat.

Baginya, membangunkan negara dan menstabilkan ekonominya menjadi agenda lebih penting.