KUALA LUMPUR: Seramai 12 artis tempatan berbakat akan menampilkan karya agung mereka dalam bentuk token seni unik yang tak boleh ditukar ganti (NFT) untuk meningkatkan kesedaran sosial dan mengumpul dana untuk Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) melalui kempen Arts for ART (Teknologi Reproduktif Berbantu).

Pengurus Projek Crypto-Nate S.R. Baapu Shrreraj berkata kempen secara maya mengenai ketidaksuburan itu adalah projek amal yang dikendalikan oleh sekumpulan pelajar pascasiswazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baapu Shrreraj berkata antara artis terlibat ialah Sue Anna Joe, Vivian Ng, Arif Rafhan dan Amir Sabri sambil menyatakan bahawa masalah ketidaksuburan di Malaysia adalah topik yang tabu dan sensitif dalam kalangan masyarakat yang sering dielakkan daripada dibicarakan.

"Jadi apabila berbincang sesama ahli kami, dan kami meneliti sama ada topik ini pernah diketengahkan oleh mana-mana individu dan dari sinilah kami menemukan TAFF.

"Sebenarnya kami telah mencapai banyak kemajuan melalui sesi menghadap Raja Permaisuri (Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) minggu lepas, dan ia merupakan satu kejayaan yang besar. Kami sebenarnya telah menunjukkan kepada baginda mengenai kemajuan projek kami yang melibatkan beberapa siri aktiviti seni," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Menjelaskan lanjut, Baapu Shrreraj berkata projek itu sebenarnya menggabungkan penggunaan NFT yang membolehkan orang ramai memiliki aset seni digital dalam pelbagai bentuk seperti gambar, audio atau animasi.

"Jadi, di sinilah kami boleh mencetuskanya atau kami memanggilnya proses penempaan yang perlu melalui ciri blok rantai tertentu, dan anda akan memegang hak pemilikan terhadap seni itu," katanya.

Baapu Shrreraj berkata kesemua 12 NFT akan dilelong secara rasmi pada 29 Jan mulai pukul 1 tengah hari ingga 5 petang melalui platform media sosial Crypto-Nate, tetapi tempoh prapembidaan bermula pada 23 Jan dan selanjutnya.

Lelongan secara langsung boleh diikuti menerusi media sosial Crypto-Nate seperti Twitter (@NFT_cryptonate), Facebook (@cryptonatemy), Instagram (@cryptonate_my) dan LinkedIn (nftcryptonate).

Beliau juga berkata projek dengan kerjasama Pentas.IO ( pasaran NFT inklusif yang berusaha memperkasa pencipta kandungan warisan, budaya dan nilai tradisional melalui pemeliharaan aset secara digital) menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM100,000 daripada penjualan semua karya seni dengan bidaan minimum RM12,000 bagi setiap lukisan.

"Jadi pertamanya adalah jelas, apabila kita bercakap tentang pengumpul NFT, kita mempunyai pembida yang mahir mengenai NFT, Jadi mereka harusnya sudah mempunyai dompet crypto sekali gus akan membolehkan mereka membelinya.

"Sekarang, persoalanya, jika anda seorang pembida, dan anda ingin menyokong perjuangan kami dan anda menyukai tujuan itu tetapi anda tidak berada di dalam dunia crypto.

"Tiada masalah. Anda sentiasa boleh menghubungi kami kerana anda boleh menyalurkan dana anda ke dalam akaun UKM dan kami akan membantu anda melakukan transaksi ke dalam mata wang kripto dan kami akan mengendalikan urusan pembelian untuk anda," katanya.

-- BERNAMA