PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menggerakkan anggotanya ke Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U) selepas menerima aduan mengenai seorang lelaki orang asli maut dipercayai diserang harimau belang, semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Perhilitan memaklumkan pasukan berkenaan akan menjalankan usaha pencarian, mendapatkan maklumat awal, melaksanakan pemeriksaan di lokasi serta menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
Operasi pencarian turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
"Berdasarkan maklumat dan pemerhatian awal di lokasi, mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun, telah ditemui di kawasan berhampiran jalan balak.
"Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kejadian, manakala jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan lokasi penemuan mangsa dianggarkan kira-kira 200 meter," menurut kenyataan itu.
Zamberi Angah, 42, dilaporkan maut dipercayai akibat diserang harimau ketika mencari rotan bersama-sama rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, semalam.
Menurut Perhilitan, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian termasuk mengenal pasti punca serta keadaan sebenar insiden tersebut.
"Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperolehi di lapangan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pasukan Perhilitan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian, termasuk mengenal pasti tanda-tanda kehadiran harimau belang, mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat serta memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
"Perhilitan memandang serius kejadian ini kerana melibatkan aspek keselamatan dan nyawa penduduk setempat. Kerjasama dan penyelarasan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah keselamatan dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Perhilitan menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelak daripada memasuki kawasan hutan atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
Perhilitan turut menasihatkan orang awam supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin dikesan.
Jabatan itu menggesa orang ramai segera melaporkan sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan.
-- BERNAMA