MALAYSIA
Serangan Israel ke atas Doha sabotaj usaha perdamaian, tak boleh diterima - PM

Anwar (tengah) menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani - Foto/PMO/Izzuddin Abd Radzak
KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan serangan udara Israel ke atas Doha, sebagai satu bentuk sabotaj secara terang-terangan terhadap usaha perdamaian dan tindakan provokatif yang tidak boleh diterima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, serangan Israel itu sebagai tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa serta menggugat keselamatan serantau.
Menurut Anwar, tindakan itu jelas menggambarkan bahawa tiada negara akan terlepas daripada agenda Zionis Israel yang semakin agresif dan melampaui batas.
"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya dan tanpa sebarang kompromi serangan udara Israel ke atas ibu kota Qatar."Menjatuhkan bom ke atas ibu kota sebuah negara berdaulat adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang dan sama sekali tidak boleh dimaafkan," kata Perdana Menteri semasa menyampaikan kenyataan negara sempena Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha sekitar pukul 11 malam waktu Malaysia, pada Isnin.
Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.
Berucap lanjut, Perdana Menteri turut menekankan bahawa tindakan Israel menyerang Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan penting sebagai perantara melalui kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, merupakan cubaan terang-terangan untuk menggagalkan dialog dan perdamaian.
Beliau menambah, negara-negara yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat (AS) memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mengekang tindakan agresif Israel, yang menggagalkan usaha perdamaian di Asia Barat.
Jelas Anwar, sikap Israel yang membalas inisiatif dialog dan mediasi dengan tindakan ketenteraan merupakan bukti jelas penolakan terhadap sebarang usaha perdamaian.
"Ketika Amerika mahu berdialog dengan Iran, Israel membalas dengan bom.
"Apabila Washington mendorong mediasi dengan Hamas, Israel menyerang Doha,” katanya.
Serangan udara Israel pada Selasa lalu dilapor mengenai kawasan kediaman di Doha yang digunakan oleh pemimpin Hamas ketika membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong AS.
Delegasi diketuai pegawai kanan Hamas Khalil al-Hayya terselamat, namun lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar terbunuh.
Qatar, Mesir dan AS sebelum ini berusaha menjadi pengantara untuk mencapai gencatan senjata serta pertukaran tawanan sejak perang terbaru di Gaza meletus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami