Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam kenderaannya di Kilometer 290, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar 10.29 pagi, mangsa, Azman Ab Wahab, 54 ditemui mati di dalam kenderaan jenis Perodua Alza di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Pulai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan perkara berkenaan dan berkata tiada sebarang unsur jenayah yang terlibat dalam insiden itu.

Proses bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia berikutan serangan sakit jantung di dalam kenderaannya.

"Mangsa ditemui di tempat duduk pemandu oleh pekerja stesen minyak pada pagi Isnin yang kemudiannya bertindak menghubungi polis bagi menjalankan siasatan.

"Hasil pemeriksaan daripada kamera litar tertutup,mangsa telah masuk seorang diri ke dalam kenderaannya di kawasan tempat letak kereta belakang pada jam 7.30 malam sebelumnya, dan tidak bergerak sejak itu,"katanya ketika ditemui pada Isnin.

Jelasnya, pihaknya telah meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memecahkan cermin tingkap untuk mendapatkan mangsa.

Ujarnya, mangsa ditemui dalam keadaan pintunya masih berkunci dari dalam dan enjin kenderaan masih dihidupkan sebelum ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sum berkata pihak perubatan telah menjalankan bedah siasat ke atas mangsa yang dipercayai seorang kontraktor dan mengesahkan tiada kesan "foul play" atau unsur jenayah ditemui.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarga mangsa bagi urusan pengebumian,"katanya lagi.