Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih dalam proses mengenal pasti identiti suspek yang menyerang kawasan pos kawalan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar menggunakan mercun roket pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata polis masih menjalankan siasatan dan tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat mengenai suspek.

“Saya tidak dapat mendedahkan siapa suspek kerana siasatan masih lagi dilakukan.

“Kami tidak boleh tuduh warga Thailand atau warga mana-mana negara kerana tiada kepastian buat masa ini,” kata Mazlan selepas majlis pelancaran Sistem e-Pengambilan Polis Diraja Malaysia di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata serangan mercun tersebut memang ditujukan kepada pos polis berhampiran pagar sempadan di Padang Besar.

“Apa yang pasti ialah memang ada mercun yang ditujukan kepada pondok polis ataupun pos polis di sempadan tersebut. Bagi masa untuk kami jalankan siasatan,” katanya.

Pada Isnin, Komander Briged Utara, PGA Hulu Kinta, Perak SAC Abdul Ghani Mohamad Ji dalam satu kenyataan berkata serangan tersebut dipercayai dilakukan warga Thailand.

Serangan tersebut dikaitkan dengan kumpulan penyeludup yang ingin menakutkan anggota PGA berikutan kejayaan mereka menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand.

Dalam perkembangan isu basikal lajak pula, beliau berkata pihaknya masih lagi melaksanakan penguatkuasaan dan boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang lalai kerana membenarkan anak mereka mengubah suai basikal mereka secara berbahaya.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lepas.