PUTRAJAYA: Kerajaan diminta mempertimbangkan langkah menyerap kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat lebih 10 hingga 15 tahun secara ‘one off’ ke dalam sektor awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya menerima aduan dari kakitangan kontrak berkenaan isu itu dan ia sudah pun dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelasnya, satu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.

"Cuma agak malang hari ini apabila sebahagian daripada pekerja yang melangkaui 10 tahun berkhidmat secara tiba-tiba tidak disambung sedangkan sebenarnya mereka mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap.

"Kami minta kerajaan terus lantik mereka sehingga 10 atau 15 tahun dan kemudian diberi jawatan tetap.

"Perkhidmatan mereka perlu kerana telah terlantik sehingga 15 tahun," katanya.

Tambahnya, adalah tidak adil sekiranya perkhidmatan mereka ditamatkan selepas 10 tahun berkhidmat sedangkan mereka ada lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, pada Isnin.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Kementerian Sumber Manusia.

Seramai 800 peserta hadir pada majlis itu bertemakan Pekerja Berintegriti Tunjang Negara Madani.