Skip to main content

Dunia

Dalang rompakan barang kemas bernilai AS$100 juta mengaku bersalah

Kes berkenaan dianggap sebagai rompakan barang kemas terbesar dalam sejarah AS dari segi nilai hasil curiannya. - Gambar hiasan
Kes berkenaan dianggap sebagai rompakan barang kemas terbesar dalam sejarah AS dari segi nilai hasil curiannya. - Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • Carlos Victor Mestanza Cercado mengaku bersalah atas peranannya dalam rompakan barang kemas bernilai AS$100 juta di California pada Julai 2022.
  • Rompakan itu melibatkan kecurian 24 beg barang kemas dari kenderaan perisai syarikat Brink's dan dianggap terbesar dalam sejarah AS dari segi nilai.
  • Mestanza berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sementara tiga lagi tertuduh akan dibicarakan dan dua suspek masih diburu pihak berkuasa.
Advertisement

LOS ANGELES: Seorang lelaki yang didakwa mengetuai kumpulan perompak dalam kes rompakan barang kemas bernilai kira-kira AS$100 juta (RM412 juta) di California mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah persekutuan, menurut pihak pendakwa raya Amerika Syarikat (AS).

Menurut Reuters, Carlos Victor Mestanza Cercado, 33, yang berasal dari Ecuador, mengaku bersalah atas peranannya dalam rompakan sebuah kenderaan perisai milik syarikat keselamatan Brink's yang berlaku pada Julai 2022.

Kes berkenaan dianggap sebagai rompakan barang kemas terbesar dalam sejarah AS dari segi nilai hasil curiannya.

Advertisement

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu mengekori penghantaran barang kemas berkenaan sejauh hampir 480 kilometer menggunakan beberapa kenderaan sambil berhubung menerusi telefon bimbit sebelum melancarkan serangan.

Ketika kenderaan perisai itu berhenti di sebuah kawasan rehat di Kern County, utara Los Angeles, suspek dan rakan-rakannya memecahkan kunci kenderaan terbabit dan melarikan 24 beg berisi barang berharga.

Advertisement

Reuters melaporkan kenderaan tersebut membawa 73 beg mengandungi batu permata dan barang kemas mewah dari sebuah pameran utama di kawasan Teluk San Francisco menuju ke sebuah kemudahan penyimpanan di California Selatan.

Rampasan yang dicuri termasuk emas, berlian, delima, zamrud serta jam tangan mewah dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah AS$100 juta.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pihak pendakwaan, Mestanza mengaku bersalah atas satu pertuduhan merompak yang menjejaskan aktiviti perdagangan. Sebagai balasan, beberapa pertuduhan lain terhadapnya digugurkan.

Dia kini berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dijadualkan menerima hukuman pada 15 April tahun depan.

Selain kes rompakan barang kemas itu, Mestanza turut mengaku terlibat dalam beberapa rompakan melibatkan penghantaran barangan elektronik menggunakan trak pada 2022.

Menurut Reuters, pihak pendakwa raya menyifatkan Mestanza sebagai suspek utama dalam kes tersebut.

Tiga lagi tertuduh dijadualkan dibicarakan pada Mac 2027, manakala dua suspek masih diburu pihak berkuasa. Seorang lagi anggota kumpulan itu telah dihantar pulang ke negara asal.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada mana-mana barang kemas yang dicuri dalam rompakan tersebut berjaya ditemui semula.

 

 

Must Watch Video

Advertisement