MUAR: Sebanyak 603 liter cecair arak termasuk arak tiruan dianggarkan bernilai RM1.2 juta dirampas Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menerusi tiga serbuan berbeza di sekitar Muar, Johor pada 11 pagi semalam (Rabu)

Rampasan menerusi ‘Op Kontraban’ itu turut menangkap dua individu disyaki terlibat dalam sindiket penjualan arak tiruan dan tidak bercukai selain menjadikan tiga premis sebagai tempat memproses arak.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, PGA Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, kedua-dua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia 29 tahun.

“Serbuan awal dilakukan ke atas sebuah premis di Bukit Treh sebelum pihak polis bergerak ke Bukit Pasir dan Parit Jawa di Muar dengan dipandukan arah oleh suspek.

“Turut dirampas dalam serbuan, 18 tong pati arak, 500 kotak arak pelbagai jenama, 10 buah kereta, tujuh buah lori, satu mesin pengangkut dan satu bungkus pelekat kastam palsu.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM3.5 juta manakala nilai cukai arak yang dirampas bernilai kira-kira RM1.2 juta," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, sindiket yang aktif sejak tiga tahun lalu menyewa dua gudang dan sebuah kilang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Muar mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (Kesalahan Membuat, Memproses Arak dan Memiliki Peralatan Membuat Arak).