Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa.
Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
Pelaksanaan PKPB tersebut akan meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng .
SOP bagi PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.
"Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
"Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak," ujar beliau.
Sementara itu, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup; manakala aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Selain itu, semua aktiviti sosial dan budaya, pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.
Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Antara SOP lain yang perlu dipatuhi adalah:
- Restoran/kedai makan secara dine-in dihadkan 2-4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu.
- Pasar Harian dibuka jam 6 pagi - 2 petang, Pasar Borong 4 pagi - 2 petang, Pasar Tani 6.00 pagi - 12 tengah hari.
- Operasi Pasar Malam adalah bermula 4 petang sehingga 10 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan anggota RELA.
- Operasi Stesen Minyak bermula daripada 6 pagi hingga 10 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)
- Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum 2 penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
- Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.
- Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.
- Waktu operasi klinik, hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala Farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8 pagi sehingga 11 malam.
Walau bagaimanapun, PKPD di Lot 1/7A, 1/7B dan 7/F Putra Point Nilai kekal seperti mana telah diumumkan sebelum ini.