Markas pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali lagi digempur pihak Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di ibu negara.

Seperti kebiasaan, pelbagai aksi cubaan meloloskan diri ketika diperiksa penguatkuasa sempat dirakam krew ketika operasi bersepadu itu dilakukan.

Ada juga yang bertindak ganas apabila cuba diperiksa oleh penguatkuasa.

Lebih 100 warga Afrika diperiksa dalam operasi yang tertumpu di sebuah kelab malam di Puchong dan dua buah pangsapuri di Segambut dan Desa Aman Puri, Kepong.

Operasi bermula seawal jam 11 malam Khamis itu dilakukan hasil aduan orang awam.

Mereka didakwa sering mengganggu golongan wanita penduduk setempat dan membuat bising ketika mabuk.

Dalam operasi berkenaan, seramai 60 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya kesalahan tinggal lebih masa, tiada permit kerja dan tiada pasport dikesan.

Kesemua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan sementara di Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Operasi berakhir jam 5 pagi.