Serotaip denggi di Malaysia telah berubah kepada jenis dua yang lebih berbahaya sehingga menyebabkan kes demam denggi tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

Virus baharu ini boleh menyerang mereka yang pernah menghidap denggi daripada serotaip virus jenis satu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata apabila terdapat virus denggi yang baharu, kebanyakan populasi masih tidak mempunyai imuniti terhadap virus itu.

Sehubungan itu, orang ramai dituntut untuk bersama-sama membantu mengawalnya, jika tidak ia akan jadi masalah besar.

"Kalau sesiapa yang pernah kena virus satu, misalannya, kalau dia ada antibodi, dia tak akan kena denggi lagi untuk virus satu, tapi dia boleh kena virus dua.

"Kebetulan apabila ada orang yang pernah kena virus satu, bila dia kena virus dua, denggi ini lebih serius," kata Boon Chye.

Beliau ditemui selepas merasmikan belon gergasi dan risalah kempen Jom Hapus Aedes di sini pada Ahad.

Justeru, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan usaha mengawal pembiakan aedes seperti melancarkan kempen gotong-royong besar-besaran tidak lama lagi.