Ringkasan AI
- Tiga rakyat Malaysia ditahan di Mauritius kerana membawa 76.14kg ganja bernilai RM9.87 juta, dipercayai mengetahui kandungan dadah tersebut.
- Suspek terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang individu yang direkrut melalui pakej percutian, dipercayai memperoleh dadah di Bangkok sebelum ke Mauritius.
- Pihak berkuasa Mauritius menemui 70 bungkusan ganja dalam bagasi mereka, dan maklumat kes telah dikongsi dengan PDRM untuk siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia yang ditahan di Mauritius kerana membawa 76.14 kilogram (kg) ganja bernilai RM9.87 juta dipercayai mengetahui dadah yang dibawa mereka sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang lagi individu yang direkrut menerusi pakej percutian.
Menurutnya, mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah berkenaan di Bangkok, Thailand, sebelum membawanya ke Mauritius.
Katanya, perjalanan mereka bermula dari Malaysia ke Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Mauritius dengan membawa bekalan dadah berkenaan.
"Yang pasti, mereka singgah di Bangkok, dari Malaysia ke Bangkok. Di Bangkok, mereka mengambil bekalan dadah itu untuk dibawa ke Mauritius.
"Kita percaya mereka mengetahui apa yang dibawa," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bersama Rakan Strategik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, beberapa maklumat berkaitan kes itu sudah dikongsi dengan PDRM bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan dijalankan di negara ini.
Ketiga-tiga rakyat Malaysia terbabit iaitu dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 30 tahun, serta seorang wanita berusia 18 tahun, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam pada 2 November lalu.
Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA), pegawai kastam menemukan 70 bungkusan segi empat tepat berbalut vakum disyaki mengandungi ganja di dalam bagasi mereka, dengan nilai dianggarkan mencecah 114.21 juta Rupee Mauritius (kira-kira RM9.87 juta).
Media Mauritius melaporkan suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura membawa 10.9kg ganja, manakala lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 18 tahun itu masing-masing membawa 32.5kg dan 32.6kg dadah jenis sama.
Siasatan awal pihak berkuasa Mauritius mengaitkan dadah berkenaan dengan Thailand, dengan laporan menyatakan sekurang-kurangnya seorang suspek transit di Dubai, sebelum tiba di Mauritius.
Tangkapan ini berlaku hanya 10 hari selepas seorang lagi rakyat Malaysia, seorang tukang masak berusia 55 tahun, ditahan di lapangan terbang sama pada 23 Oktober lalu, bersama 17.8 kg ganja di dalam bagasinya selepas tiba dari Dubai.