KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula hari ini, sempat meninggalkan nota untuk ahli keluarganya.

Perdana Menteri keenam itu mengakui tidak pernah kesal memilih meneruskan legasi Almarhum bapanya, Tun Abdul Razak, namun apa yang menjentik hatinya ialah apabila pilihan itu membuatkan beliau terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

"Tahun-tahun berlalu, didedikasi kepada rakyat, perkhidmatan awam, politik. Satu pengorbanan yang saya pilih dan saya lakukan.

"Perjalanan yang menggembirakan dengan kehadiran anda tetapi malangnya saya terlepas pandang dan tidak dapat sentiasa ada untuk anda semua.

"Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh Daddy," luahnya di Facebook.

Hukuman penjara yang bakal dijalani akan menjarakkan mereka sekeluarga, namun Najib seakan-akan redha dengan situasi itu.

"Setakat ini sahaja yang Daddy dapat bersama. Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam. Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya, Daddy manusia dan hamba-Nya.

"Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat.

"Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana," tulisnya lagi.

BACA: 'Maaf Daddy, mungkin kita tidak cukup berjuang ...' - Anak Najib

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.