KUALA LUMPUR: Setelah membuatkan warga Kuala Lumpur cemas, akhirnya seekor anjing jenis ‘poodle’ yang dikenali sebagai "Dafi" pulang ke pangkuan tuannya Steven Chong hari ini.

Dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya, Steven berkata Dafi telah diselamatkan seorang lelaki yang dikenali sebagai "Mr Siva" selepas aksinya berlari di jalan utama berhampiran sebuah Stesen MRT di kawasan Cheras dirakam pada 24 April lepas.

Beliau berkata anjing kesayangannya itu telah hilang selama 10 hari selepas secara tidak sengaja melepaskan diri dari pusat penjagaan haiwan di Taman Segar.

“Dafi saya telah selamat.

"Penjaga sementaranya ‘Mr Siva’ telah menghubungi saya dan dalam perjalanan membawanya pulang.

"Terima kasih kepada beliau. Saya akan beri kemas kini secepat mungkin,” katanya menerusi catatan tersebut.

 
Sumber Facebook steven.chong.9440


Dalam rakaman video berdurasi 2 minit oleh warganet bernama Fatin Syahirah pada 24 April lepas kelihatan Dafi berlari-lari di atas jalan utama, dan ia cuba menyelamatkan diri setiap kali cuba diambil oleh orang sekeliling.

Walaupun jalan berkenaan sesak dengan kenderaan yang bertali arus, sikap beberapa penunggang motor yang cuba mengiringi anjing berkenaan daripada sebarang bahaya wajar dipuji.

 
Sumber Facebook steven.chong.9440

Terdahulu, Steven memaklumkan beliau telah meletakkan Dafi di sebuah pusat penjagaan haiwan pada 12 April lalu kerana terpaksa melakukan tugasan luar.

Namun, pada 14 April, pusat penjagaan itu memaklumkan Dafi telah melepaskan diri selepas petugas secara tidak sengaja membiarkan pintu terbuka.

Katanya lagi, pusat penjagaan haiwan itu bersedia untuk memberi ganjaran RM2,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya membawa Dafi pulang.

Steven dalam pada itu juga berkata beliau akan menambah RM500 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang anjing kesayangannya itu.

Namun, selepas Dafi berjaya dikesan, Steven mengemas kini catatan di Facebooknya mendakwa pusat penjagaan itu kini enggan membayar RM2,000 yang dijanjikan.