Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry akan mengadakan lawatan ke Asia, dari 1 Oktober hingga 12 Oktober, 2013.

Menurut satu kenyataan dari jurucakap beliau, Jen Psaki, lawatan itu diadakan bagi mengukuhkan kerjasama dua hala di antara negara-negara itu.

Kerry bakal melawat Malaysia pada 10 dan 11 Oktober untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur yang pada awalnya dijadualkan dihadiri oleh Presiden AS, Barack Obama.

Sepanjang lawatannya ke negara-negara Asia itu, Kerry akan tiba di Tokyo pada 2 Oktober untuk menghadiri pertemuan Jawatankuasa Perundingan Keselamatan AS-Jepun.

Beliau seterusnya akan ke Bali, Indonesia pada 4 Oktober untuk Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik.

Kerry kemudiannya akan berkunjung ke Bandar Seri Begawan, Brunei untuk Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan juga Sidang Kemuncak Asia Timur, pada 9 Oktober.

Beliau akan mengakhiri lawatannya di Asia dengan melawat Filipina pada 11 Oktober bagi pertemuan dua hala untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, rakyat serta pautan keselamatan antara dua negara itu.

Kunjungan Kerry juga adalah berikutan penangguhan lawatan Obama ke Malaysia pada bulan ini berikutan krisis penutupan sebahagian operasi pentadbiran di negara itu.