MIRI:Lidam Assan, Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hanya mampu meluahkan kesyukuran selepas mendapat tahu adiknya selamat dalam insiden di laut membabitkan kapal Dayang Topaz.

Ketika dihubungi Bernama, beliau memaklumkan telah berhubung dengan adiknya Dony Tanjong yang memberitahu telah dibawa ke Miri bersama-sama rakan sekerjanya yang lain.

"Mereka telah tiba di Miri dan ditempatkan di sebuah hotel," kata Lidam.

Menurut Lidam, beliau difahamkan kapal penyelenggaraan itu tersangkut di pelantar minyak Baram B dan mungkin boleh terlepas disebabkan keadaan laut yang bergelora dengan ombak setinggi empat meter.

"Terima kasih Tuhan udah nyelamat ke menyadi aku Dony ke enggau kapal accident ba tasik di Miri (Terima kasih Tuhan kerana menyelamatkan adikku Dony yang terlibat dalam insiden kapal di laut di Miri)," kata beliau dalam hantaran Facebooknya.

Dilaporkan satu daripada kabel kapal itu putus menyebabkan kapal hilang kawalan apabila dipukul ombak dan berlanggar dengan pelantar minyak Baram B.

Kapten kapal bertindak menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC Putrajaya) pada kira-kira 6.45 pagi.

Sapura Constructor, sebuah kapal yang menerima isyarat kecemasan itu belayar ke lokasi Dayang Topaz di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram bagi menjalankan operasi menyelamat.

Seramai 125 anak kapal bertindak terjun ke laut manakala 62 lagi termasuk kapten kekal di atas kapal dan berusaha mengawal vesel itu.

Sementara itu, seorang individu, Zullfiqqar Jefery yang mendakwa merupakan kru kapal bernama Petra meninggalkan permohonan maaf di laman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana tidak mampu menyelamatkan seorang daripada anak kapal Dayang Topaz yang terkorban dalam kejadian tersebut.

"Saya kru Petra dan kru Grade One Mahjung Tiga hanya dapat membantu untuk menyelamat 28 orang... malangnya seorang meninggal masa buat CPR (bantuan pernafasan) hampir sejam lebih masih tak ada respons dan dihantar ke rig (pelantar) berdekatan untuk bantuan kecemasan selanjutnya...

"Kami hanya dapat membantu serba-sedikit dalam pukulan ombak yang kuat, sebelum tiba agensi-agensi beruniform di tempat kejadian kerana utility vessel kami berdekatan tempat kejadian... saya bersyukur kepada yang selamat dan minta maaf kerana tidak mampu menyelamatkan seorang yang meninggal," tulisnya.

Sementara itu pemangku Pengarah Bahagian Mencari dan Menyelamat APMM Komander (M) Dr Suzanna Razali Chan mengesahkan dua kru rakyat Malaysia maut dalam insiden tersebut.

"Seramai 173 daripada 185 mangsa yang selamat dalam kejadian telah tiba di jeti Pelabuhan Miri sementara 12 lagi kru Dayang Topaz berada di atas kapal bagi memastikan keselamatan vesel. Kesemua mangsa akan menjalani ujian saringan COVID-19 dan diletakkan di bawah kuarantin di sebuah fasiliti," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya mayat dua yang terkorban diterbangkan ke Lapangan Terbang Miri menggunakan helikopter Petronas pada 5.40 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA