KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara sinis mendakwa seolah-olah kerajaan tidak dapat disucikan kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah, jelas menunjukkan beliau tidak mencerminkan nilai sebenar agamawan Islam.

Demikian kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, yang menegaskan, seharusnya sebagai agamawan, Abdul Hadi perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan serta kekitaan.

“Hal ini kerana agama Islam telah tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Lantaran itu, saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Semalam media melaporkan, Abdul Hadi dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-69 menyifatkan, Pas tidak mampu membersihkan Kerajaan Perpaduan yang sudah sedia tercemar.

Ahli Parlimen Marang itu menggambarkan Kerajaan Perpaduan “kotor” kerana dianggotai oleh bekas banduan dan 'kluster mahkamah'.

"Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) siapa dalamnya. Cuci macam mana?.

"Bekas banduan ada, kluster mahkamah (kes rasuah) pun ada, macam mana kami nak ikut (sertai)?

"Kalau nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis...kita duduk di luar," katanya seperti dilapor media.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata walaupun seseorang itu mengetuai parti yang tertera nama Islam, mereka tidak sepatutnya merasakan pihak lain tidak suci.

“Jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak 'Islam' sepenuhnya,” tambah beliau.

Kata Ahmad Farhan lagi, beliau berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi dengan mereka.