MALAYSIA
Shabery Cheek puashati persiapan sambutan Hari Malaysia
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpuas hati dengan persiapan sambutan Ulang tahun ke-50 Sabah merdeka dalam Malaysia atau Sambutan Hari Malaysia yang bakal diadakan pada 16 Sept.
Beliau berkata sambutan ulang tahun ke-50 itu adalah detik bersejarah bagi seluruh rakyat di Sabah yang sama-sama membangunkan negeri dan negara ini sehingga menjadi Malaysia yang kuat dan berdaulat.
"Saya lihat terdapat kelainan sambutan pada tahun ini kerana lokasi sambutan diadakan di tepi pantai yang turut memaparkan pelbagai jenis rumah tradisional," katanya kepada pemberita sempena lawatannya ke tapak sambutan itu di Taman Prince Philip, Tanjung Aru, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.
Ahmad Shabery berkata pada hari itu juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan ekopembangunan pantai Tanjung Aru.
"Kita akan lihat perhimpunan rakyat yang besar yang diadakan di kawasan ini secara santai, sekali gus memperlihatkan rakyat hidup aman damai dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,' katanya.
Ahmad Shabery berkata perayaan Hari Malaysia bertujuan mengingatkan semua rakyat di negara ini tentang signifikan pembentukan Malaysia melalui percantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang sama-sama menyumbang kepada usaha itu.
Mengenai kekurangan sambutan mengibarkan Jalur Gemilang di Sabah, beliau berkata ia akan dikaji dari semua aspek, dan "tahun depan kita akan memikirkan cara terbaik kerana ini bukan dikaitkan dengan politik".
"Sabah paling kuat sokongan BN (Barisan Nasional) tapi tidak meletakkan Jalur Gemilang itu tidak menandakan mereka tidak menyokong kerajaan. Saya dapati di Putrajaya sendiri pun, banyak blok-blok bangunan rumah kediaman kerajaan tidak banyak yang kibarkan bendera.
"Ada yang mengatakan bahawa semangat cintakan negara itu di hati dan bukannya di bendera...ini perlu kita kaji kembali. Walaupun semangat cintakan negara itu di hati tapi elok kita kibarkan Jalur Gemilang," katanya.
Mengenai tindakan kumpulan tertentu mengibarkan bendera lain daripada Jalur Gemilang pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan di ibu negara, Ahmad Shabery berkata ia sengaja ditimbulkan oleh beberapa individu semata-mata inginkan perhatian.
Saya tidak fikir perkara ini disokong oleh parti pembangkang. Ada orang merasakan bahawa mereka secara individu mahukan perhatian. Ini cara orang tertentu untuk mengambil kesempatan.
"Bagaimanapun, kita serah kepada pihak polis sekiranya ada perkara yang melanggar undang-undang, mereka perlu diambil tindakan. Ada negara yang keras, kalau mereka dianggap menghina simbol-simbol negara," katanya.
Ditanya sama ada terdapat bantahan terhadap pengharaman konsert "Lamb of God", Ahmad Shabery berkata setakat ini tidak ada bantahan yang diterima.
"Ia (konsert Lamb of God) dikatakan tidak sesuai untuk dibenarkan di Malaysia. Saya terima pandangan itu.
"Garis panduan sudah ada, tetapi dalam perkara atau kes tertentu yang boleh menimbulkan kontroversi dan ketidaksenangan masyarakat kita...lebih baik tidak diadakan dan tidak diteruskan daripada menimbulkan masalah lain,' katanya
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami