ANGKASAWAN negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor meluahkan rasa bangga apabila dua sekolah biasa di Malaysia tersenarai di dalam ‘sekolah terbaik di dunia’.

Dua sekolah yang berjaya menempatkan diri dalam kategori 10 terbaik itu adalah SMK Kampong Jawa yang terletak di Selangor dan SMK Kempadang, Kuantan, Pahang.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, dia menyangkakan sekolah yang terpilih di antara yang terbaik itu terdiri daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ataupun sekolah elit.

“Tahniah kepada dua sekolah terbabit. Saya ingatkan MRSM atau sekolah elit lain yang akan tersenarai,” ujarnya menerusi satu hantaran.

Malah, bapa kepada enam cahaya mata itu mahu ‘turun padang’ melawat dua sekolah terbaik itu.

Pada masa yang sama, beliau turut memberikan penghargaan kepada guru-guru yang berkhidmat di dua sekolah tersebut dan semua pelajarnya.

“Tak pernah dengar nama sekolah-sekolah itu. Nampaknya saya perlu melawat sekolah itu sendiri untuk melihat apakah yang membuatkan sekolah tersebut sangat bagus. Kepada cikgu-cikgu dan semua pelajar, tahniah," ujarnya.


Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya terutamanya bekas pelajar dua sekolah tersebut meluahkan rasa bangga mereka apabila dua sekolah biasa berjaya mengharumkan nama negara.

“Alhamdulillah, bangga dapat menjadi sebahagian daripada #smkkj,” tulis seorang wargamaya.

“Sekolah yang hebat datang daripada cikgu yang hebat. Tahniah! Saya sekolah kampung je, tak pernah merasa masuk sekolah best macam mana,” ujar seorang wargamaya.

“Tahniah SMK Kampung Jawa, sekolah anak saya,” kata seorang wargamaya.

“Sekolah top di Malaysia dikuasai oleh SBP tapi rezeki SMK jadi sekolah terbaik. Persaingan yang sihat antara sekolah-sekolah di Malaysia,” puji seorang wargamaya.

“Sekolah saya dulu!!!” Komen seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 20,000 tanda suka daripada pengikutnya.

*Artikel asal disiarkan di Gempak