KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Sarawak 2023 dalam usaha mewujudkan ekosistem keusahawanan inklusif termasuk usahawan setempat.

KUSKOP dalam satu kenyataan memaklumkan SDSI peringkat Sarawak yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak bermula 29 September hingga 1 Oktober menyediakan platform perkomersialan menerusi pameran dan jualan produk yang menjadi identiti sesebuah daerah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, susulan ekonomi negara kini beralih ke fasa pemulihan, kementeriannya komited meneruskan program ini sebagai pemangkin dalam meningkatkan imej produk serta perkhidmatan SDSI.

“Showcase ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI adalah berkualiti dan berpotensi tinggi.

“Saya sempat menjenguk beberapa reruai pameran produk SDSI sebentar tadi, dan saya tertarik dengan kualiti produk-produk yang ditampilkan seperti Produk Berasaskan Gula Apong, Kek Lapis Sarawak, Produk Kecantikan Berasaskan Madu serta produk-produk oleh usahawan SDSI di Sarawak ini.

“Harapan KUSKOP supaya produk-produk ini bukan sahaja 'jaguh' di rantau ini, tetapi juga mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutupan showcase SDSI 2023 peringkat Wilayah Sarawak pada Ahad.

Kredit: KUSKOP

Tambah beliau, KUSKOP sedar bahawa aliran tunai yang tidak mencukupi menjadi antara kebimbangan utama dalam kalangan peniaga, terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga bahan mentah, pembungkusan, dan caj sewaan.

“Oleh sebab itulah pada showcase ini juga KUSKOP meletakkan agensi-agensi pembiayanya, serta agensi-agensi pembiaya komersial dan alternatif di bawah satu bumbung.

“Matlamat KUSKOP melalui inisiatif ini adalah jelas iaitu untuk menawarkan akses kepada usahawan dalam mendapatkan pembiayaan dengan lebih mudah,” katanya.

Antara program disediakan termasuk pameran jualan, biaya usahawan dan Bengkel Pensijilan Halal.
Dalam pada itu, SDSI Sarawak menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan serta demonstrasi produk jualan usahawan tempatan.

Usahawan yang hadir berpeluang mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan kewangan kewangan pensijilan halal daripada penggiat industri berpengalaman.

Pengunjung juga dapat menyertai cabutan bertuah serta menonton persembahan kebudayaan Sarawak.

Penganjuran Showcase SDSI 2023 Sarawak turut mendapat kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).

Antara produk SDSI terlibat ialah kek lapis Sarawak, produk berasaskan gula apong, produk kecantikan berasaskan  madu dan hasil kraf tangan.

Showcase SDSI 2023 Sarawak merupakan lokasi kedua selepas penganjuran pertama di Peringkat Zon Tengah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 Julai lalu.

Showcase SDSI 2023 Peringkat Kebangsaan pula bakal dianjurkan pada 6 hingga 8 Oktober 2023 bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka manakala seterusnya di Peringkat Wilayah Sabah dan Zon Utara di Perak, masing-masing akan dianjurkan pada November dan Disember 2023.