SENARAI lagu untuk haiwan peliharaan?

Mungkin kedengaran agak pelik, namun aplikasi penstriman muzik Spotify menawarkan perkhidmatan itu bagi ‘memberi ketenangan' atau terapi kepada haiwan peliharaan anda.

Senarai lagu berkenaan adalah berdasarkan muzik pilihan pelanggan serta spesies haiwan peliharaan yang dimiliki, sementara "My Dog's Favourite Podcast" diwujudkan menerusi pakar haiwan untuk membantu mengurangkan tekanan.

Podcast atau audio siar itu merangkumi alunan muzik termasuk suara manusia, bunyi hujan serta keadaan sekitar.


Sementara itu, jabatan kebajikan haiwan yang terbesar di United Kingdom, The Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals menyambut baik pendekatan podcast, namun berpendapat manusia merupakan teman sejati kepada haiwan peliharaan mereka.

Dalam pada itu, pakar terapi haiwan yang juga profesor di University of Glasgow, Neil Evans berkata, kewujudan sistem podcast mampu menjadikan anjing serta haiwan peliharaan lain dalam keadaan yang tenang.

Untuk rekod, Spotify yang berpangkalan di Sweden kini memiliki sekitar 113 juta pelanggan di seluruh dunia.