“Lihat Parlimen sebagai sebuah institusi dan bukan hanya kepada sesuatu isu sahaja”.

Itu pandangan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berhubung cadangan siaran langsung prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita tidak boleh kata kita pilih isu sebagainya... kita kena melihat Parlimen sebagai institusi, bukan isu yang menjadi minat pada satu-satu masa.

“Sebab itu kalau kita terima hakikat Parlimen sebagai institusi, satu peraturan harus jelas dan diputuskan,” ujar Shahrir ketika ditemubual Astro Awani.

Bagaimanapun, Shahrir berpandangan keputusan untuk membenarkan atau tidak siaran langsung tersebut adalah terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat.


Katanya, speaker boleh melihat cadangan ini bersekali dengan reformasi atau penambahbaikan Parlimen.

Tambah Shahrir, ada negara-negara luar membenarkan liputan media dan televisyen bagi Jawatankuasa Kerja Parlimen melaporkan tugas mereka yang mengamalkan sistem Parlimen seperti Malaysia.

Bagaimanapun katanya, perbahasan atau soal jawab di dalam dewan berbeza dengan cara kerja sesebuah Jawatankuasa Parlimen termasuk PAC.

“Kita kena ingat perbezaan antara soal jawab, perbahasan dalam Dewan Rakyat yang agak berbeza daripada cara kerja sesebuah jawatankuasa pilihan atau jawatankuasa tetap,” kata Shahrir.

Justeru, Shahrir berpandangan perkara tersebut perlu diserahkan kepada Speaker yang dalam proses melakukan penambahbaikan peranan Parlimen.