KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan siasatan berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) dengan tidak hanya bergantung kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim berkata, siasatan perlu dilakukan segera oleh agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata, isu LCS merupakan perkara besar yang perlu diberikan perhatian serius, sama seperti beberapa skandal besar negara sebelum ini.
Menurutnya, projek yang bermula pada 2013 itu sudah melalui tempoh 13 tahun, lima kali pertukaran kerajaan serta melibatkan lima Menteri Pertahanan.
“Isu kapal ini telah bermula 2013. Kita gunakan fast track, siasat terus SPRM, polis, LHDN. Siasat terus 13 tahun daripada 2013 hingga 2026.
“13 tahun, sebanyak lima kali kerajaan telah bertukar dan sebanyak lima Menteri Pertahanan dalam tempoh 13 tahun itu. Saya tidak tahu berapa ramai KSU yang terlibat dalam pemerolehan ini,” katanya.
Hasan turut mempersoalkan peningkatan kos projek LCS walaupun jumlah kapal yang akan dibina dikurangkan.
Beliau berkata, kontrak asal bagi enam kapal bernilai RM9.128 bilion, namun kontrak tambahan menyaksikan jumlah kapal dikurangkan kepada lima dengan nilai meningkat kepada RM11.227 bilion.
“Saya pelik juga, bagaimana kerajaan ini boleh beroperasi seperti ini. Mula-mula kontrak dengan LCS ini untuk enam buah kapal, jumlahnya RM9.128 bilion.
“Tapi akhirnya ada kontrak tambahan, berubah menjadi lima kapal. Kurang jadi lima kapal tetapi jumlahnya meningkat RM11.227 bilion. Ini satu kebijaksanaan atau macam mana?” soalnya.
Hasan berkata, siasatan juga perlu meliputi semua pihak yang mempunyai kaitan dengan proses pemerolehan projek berkenaan, termasuk menteri dan pegawai kanan kerajaan yang terlibat.
Beliau berpandangan, tindakan tidak seharusnya hanya dikenakan kepada pegawai bawahan atau pihak tertentu, sebaliknya mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh.
“Jangan jeneral-jeneral saja yang siasat, diheret ke mahkamah, dituduh, sedangkan ini lima angkatan terlibat.
“Saya lihat lima Menteri Pertahanan dari dulu sampai sekarang dan KSU. Maksud saya, bukan malaikat, siasat mereka. Bawa mereka ke mahkamah, baru kita dapat tahu,” katanya.
Pada masa sama, Hasan berkata proses RCI mungkin mengambil masa yang panjang dan menyukarkan usaha mendapatkan jawapan segera berhubung projek berkenaan.
“RCI ini lambat, leceh dan penting ada kalau-kala, tetapi tindakan yang segera. Saya dah hilang sabar,” katanya.