Siasatan terhadap syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu bebas daripada campur tangan dan tekanan pihak yang terlibat dengan politik.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, sebarang siasatan skandal 1MDB mesti mengikut undang-undang dan menurut prosedur badan penguatkuasa berkaitan.

"Laporan polis yang dibuat mesti disiasat secara adil.

"Ia bukan dilakukan untuk menyelesaikan masalah dalaman UMNO semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

N. Surendran mengulas tindakan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis terhadap 1MDB baru-baru ini.

Dalam pada itu, Surendran berkata turut terkejut dengan pendedahan bahawa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi 1MDB, di mana mereka dilaporkan dimarahi mantan perdana menteri itu.

"Perkara itu didedahkan sendiri bekas ketua pengarang The New Straits Times Group, Datuk A. Kadir Jasin di dalam blognya.

"Jika benar, ia campur tangan yang tidak sah dan tidak boleh diterima ke dalam siasatan 1MDB," katanya.

Jelasnya, UMNO juga harus memberi jaminan isu 1MDB tidak dieksploitasi untuk kepentingan sendiri.

"Kami mahu penyiasatan yang adil dan menyeluruh bagi membongkar kebenaran bagaimana dana awam ini hilang dan dibazirkan dalam 1MDB," jelasnya.