IPOH: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang ditahan berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi kerjasama baik terhadap siasatan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan masih diteruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).

“Siasatan ke atas Roger Ng ini adalah suatu siasatan yang berterusan. Pegawai-pegawai kita daripada JSJK dan dan pegawai penyiasat daripada Unit Pencegaha AMLA yang sekarang diletak di bawah Urusetia KPN (Ketua Polis Negara).

"Setakat ni alhamdulillah, Roger Ng memberi kerjasama yang baik dan kita pun masih lagi mengesan aset-aset lain yang mungkin ada lagi di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-59 69 Komando Pasukan Gerakan Khas di Padang Kawad Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta pada Rabu.

Pada Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat tangkapan terhadap Roger Ng berkait dengan siasatan skandal 1MDB.

Menurutnya, tangkapan terhadapnya dibuat pada 9 Oktober dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setakat Mac lalu, kerajaan sudah berjaya mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.

Menurutnya, ia adalah satu kejayaan besar buat negara hasil kerjasama SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).