KUALA LUMPUR: Siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kecurian unsur nadir bumi di Kedah berjaya menemukan beberapa petunjuk baharu, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki.

Azam berkata sepanjang tempoh siasatan dilakukan SPRM juga telah menggunakan khidmat pakar untuk mengenal pasti tempoh masa serta kuantiti unsur nadir bumi yang disyaki telah dicuri berdasarkan ujian-ujian makmal.

"Siasatan kes berkenaan masih berjalan melibatkan siasatan berkait isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap individu dan agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Pada Julai lepas, 10 Exco kerajaan negeri Kedah dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes REE itu.

Selain itu, media turut melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengesahkan beliau telah dipanggil memberikan keterangan berhubung kes berkenaan kepada SPRM pada September lalu.

-- BERNAMA