Skip to main content

Malaysia

Siasatan punca kebakaran Kampung Cina dijangka selesai hari ini

JBPM Kelantan memaklumkan siasatan terhadap punca kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu dijangka selesai pada Selasa. Gambar kecil: Khairul Ariffin. SINAR HARIAN
JBPM Kelantan memaklumkan siasatan terhadap punca kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu dijangka selesai pada Selasa. Gambar kecil: Khairul Ariffin

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menjangkakan siasatan berhubung punca kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah di Kampung Cina, Gok Kapur di sini dapat diselesaikan hari ini.

Ketua Zon 1 JBPM Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Khairul Ariffin Che Ramli berkata, jumlah rumah yang musnah dalam kejadian itu meningkat kepada 29 buah berbanding 27 yang dilaporkan sebelum ini.

"Jumlah itu meningkat selepas pihak kami membuat pemeriksaan lanjut.

"Setakat ini kita masih melakukan pemadaman sisa bara yang masih belum padam sepenuhnya dan kita memfokuskan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai termasuk pemilik rumah yang terjejas diminta tidak memasuki kawasan kebakaran bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan dan operasi yang sedang dijalankan.

Katanya, operasi pemadaman membabitkan seramai 55 pegawai dan anggota daripada empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan tiga sumber bekalan air iaitu pili bomba berhampiran, tangki jentera bomba serta air yang diambil dari Sungai Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan kebakaran besar pada Isnin itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan oleh pasukan forensik JBPM Kelantan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement