KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 (SIBS 2022) dijangka terus memacu ekonomi Selangor dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai hab pelaburan pilihan dan kompetitif di rantau Asia.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata penganjuran SIBS 2022 diyakini mampu membangunkan ekosistem di negeri Selangor bagi menggalakkan pemain industri dari pelbagai sektor menubuhkan operasi mereka di negeri itu.

Jelasnya, ia turut menjadi platform terbaik bagi usahawan, peniaga, ahli akademik dan pihak yang berpotensi mengembangkan ilmu dan rangkaian perniagaan.

“Kami akan terus menyediakan saluran rangkaian seperti SIBS, kerana ia telah terbukti sebagai salah satu sidang kemuncak perniagaan terbesar dan berjaya yang pernah diadakan di rantau ini.

“Saya berharap, orang ramai boleh memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang empat hari di Sidang Kemuncak itu. Pastinya banyak hasil akan dicapai dalam masa yang singkat,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran SIBS 2022 yang disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sementara itu, Exco Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata persidangan SIBS 2022, anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) itu menampilkan peserta antarabangsa termasuk Australia, Itali, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Amerika Syarikat.

“Menampilkan sejumlah 906 gerai daripada 623 syarikat, satu rekod baharu dalam sejarah SIBS, dengan peserta dan pengunjung yang datang dari 24 negara.

“Selain peserta antarabangsa, program ini turut diselaraskan oleh agensi seperti  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Koko Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Disamping itu, kami juga turut mengalu-alukan 10 negeri yang bersama-sama turun padang dalam persidangan ini, antaranya dari Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.

Selain itu, SIBS 2022 menawarkan 850 tapak pameran dengan 20 peratus daripadanya dijangka membabitkan pelabur luar negara.

Antara enam acara utama diketengahkan dalam SIBS tahun ini ialah Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Pada masa sama, turut diketengahkan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Tahun lalu, SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjuran dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 9 Oktober itu menyasarkan potensi jualan sehingga RM350 juta dan dijangka menarik 30,000 pengunjung sepanjang empat hari program itu diadakan.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan dalam sidang kemuncak itu boleh layari di laman web www.selangorsummit.com

SIBS 2022 | Bantu usahwan, pacu Selangor jadi hab pelaburan Asia

*Artikel ini adalah kandungan berbayar