Sidang Kemuncak ASEAN: Polis sedia hadapi kemungkinan ancaman ekstremisme - KPN

MOHD KHALID: Bagi menghadapi cabaran tersebut, langkah-langkah proaktif telah diambil termasuk risikan awal, pemantauan berterusan, serta penempatan pasukan tindakan khas di lokasi strategik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan terhadap sebarang kemungkinan ancaman ekstremisme dan pengganas, yang mungkin cuba mengambil kesempatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung pada 26 hingga 28 Okt nanti.
Ringkasan AI
- PDRM menumpukan kawalan terhadap ancaman ekstremisme, keselamatan siber dan tunjuk perasaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan menugaskan lebih 10,000 anggota.
- Pelbagai aset keselamatan termasuk dron, CCTV dan sistem komunikasi taktikal digunakan bagi memastikan keselamatan lokasi persidangan serta pintu masuk utama negara.
- Polis Kuala Lumpur beri amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba ganggu ketenteraman awam atau mengadakan perhimpunan semasa sidang kemuncak berlangsung.
"Sebanyak 10,170 pegawai dan anggota PDRM telah digerakkan bagi melaksanakan penugasan keselamatan sepanjang acara berprestij itu berlangsung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini berhubung kesiapsiagaan PDRM dalam menghadapi persidangan yang dihadiri oleh ramai pemimpin utama dunia itu.
Mohd Khalid berkata penugasan berkenaan turut melibatkan penggunaan pelbagai aset darat dan udara termasuk dron pemantauan, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi dan sistem komunikasi taktikal bersepadu.
Beliau berkata pada masa sama, PDRM juga menggunakan pendekatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan.
Mohd Khalid berkata selain lokasi utama persidangan dan hotel penginapan rasmi delegasi, kawalan keselamatan sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak turut meliputi semua pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat.
"Kawasan strategik di sekitar Lembah Klang seperti Putrajaya turut berada di bawah pemantauan rapi dan semua Kontinjen PDRM telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sekira ada pihak cuba menganjurkan perhimpunan di ibu kota sehingga ia mengganggu ketenteraman awam, trafik dan Persidangan Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau berkata pihak polis mendapat maklumat awal mengatakan terdapat perancangan untuk mengadakan beberapa perhimpunan di ibu kota dan memberi jamimnan PDRM akan menguruskan perkara itu dengan baik.
"Pesanan saya kepada masyarakat yang di luar sana jangan membuat gangguan terhadap majlis (Persidangan ASEAN), laluan ke majlis dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam.
"Jika terdapat pelanggaran terhadap perkara ini, ia akan dianggap sebagai jenayah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fadil juga memohon masyarakat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang persidangan berkenaan berlangsung kerana persidangan berkenaan akan menjadi tumpuan dunia yang mahu melihat persembahan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami