KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (no. 3) 2022 akan diadakan hari ini.

Sidang khas itu merangkumi mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini dan mesyuarat khas Dewan Negara pada Selasa (12 April).

Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti yang dijadual dibentang, dibahas dan diluluskan pada mesyuarat khas kali ini ditangguh ke satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Penangguhan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Khamis lepas, yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengerusi jawatankuasa itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Antilompat Parti itu ditangguh buat kali kedua selepas dijadual untuk dibentang bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac.

Penangguhan kali pertama itu dibuat untuk membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat Mac lepas termasuk rang undang-undang berkaitan anti lompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik bersama Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

Pada 2 April, Wan Junaidi mendedahkan seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen.