KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk meningkatkan lantikan tetap graduan perubatan dalam sektor kesihatan awam negara kepada 6,000 pengambilan dalam tempoh 2024 hingga 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam tempoh 2019 hingga 2023, KKM telah meningkatkan pelantikan tetap kepada seramai 9,822 orang.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan gaji permulaan bagi pegawai-pegawai perubatan kontrak gred UD41 yang melalui housemanship sebanyak RM5,197, iaitu jauh lebih tinggi berbanding skim-skim perkhidmatan awam lain termasuk pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Ujarnya lagi, langkah tersebut sebahagian daripada tiga 'pull factor' yang dikenal pasti untuk diberikan penekanan pihaknya.

"Ketiga kita juga akan kekal membayar dan sedang meneliti elaun tugas atas panggilan atau 'on call'. Bagi pegawai perubatan lingkungan RM200 - RM220 bagi panggilan aktif dan pasif RM80 hingga RM130.

"Bagi pakar pula, sekitar RM230 hingga RM250 bagi panggilan aktif dan RM100 hingga RM160 (panggilan pasif).

"Seterusnya, adalah elaun lokum yang mereka lakukan selepas waktu pejabat di jabatan kecemasan melibatkan klinik dan hospital iaitu RM80 sejam dengan waktu bertugas antara tiga hingga empat jam," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) minta menyatakan perancangan jangka pendek dan panjang KKM bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan tindakan kerajaan menghapuskan skim pencen penjawat awam bermula 2025.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sebagai usaha memastikan pegawai-pegawai perubatan terus kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam, elaun insentif kritikal turut diberikan sebanyak RM750,  elaun pembedahan (RM80 sejam), manakala bagi pakar sebanyak RM200 sejam.

Pada masa sama, ujar beliau pegawai-pegawai perubatan berkenaan menerima elaun kesusahan mengikut lokasi bertugas antara RM500 hingga RM1,500.

"Insentif penawaran pengajian kepakaran perubatan menerusi cuti belajar gaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan serta Pogram Latihan Kepakaran.

"Jumlah ini pun akan ditingkatkan (bagi menyertai program berkenaan)," ujar beliau.