KUALA LUMPUR: Parlimen menjangkakan persidangan secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ini ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan bersama hari ini. 

Bagaimanapun, satu Sidang Khas Parlimen dicadangkan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.

"Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen," memetik kenyataan itu.

Memetik kenyataan itu, kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama itu demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan.

Mengulas berkenaan perjalanan sidang tersebut, satu Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid ditubuhkan yang dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.

"Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi penjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid.

"Secara umumnya, persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizİkal (tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh MKN ataupun KKM pada masa persidangan) ataupun maya," memetik kenyataan itu lagi.