PUTRAJAYA: Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) digantung sementara berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan audit terperinci dijalankan terhadap syarikat itu, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Norazman Mahmud berkata penggantungan sijil berkenaan di bawah Peraturan 193(3) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 adalah selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh CAAM.

"Audit keselamatan terperinci akan dijalankan terhadap MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya pada 12 Okt lepas sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula oleh pemegang saham syarikat penerbangan itu.

AOC dikeluarkan bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.

Norazman berkata antara aspek utama dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC ialah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi.

"CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness (kelayakan terbang)," katanya.

Norazman berkata audit keselamatan telah dijalankan terhadap MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lepas bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewangan.

"Elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.

"Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM. Ini bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang," katanya.

"Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi, namun sehingga hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM," katanya.

Norazman berkata penggantungan sementara operasi MYAirline pada 12 Okt lepas tanpa pemakluman awal kepada pihaknya telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.

Sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Arahan Penerbangan Awam (CAD), kata beliau.

"CAAM mengingatkan semua pemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping memastikan pematuhan yang ketat," katanya.

-- BERNAMA