Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sikap 'dulu kami pun kena buli' punca budaya buli berterusan - Pakar

Kes Berlaku Di SMK Ampang Baru ... Kes Buli.. Budak Kena Buli Kerana Pandang Girl Friend Budak Lainl!!... Dei!! Girl Friend Ko Cantik Sangat Ke?... Takut Sangat Ke Bini Ko Kena Curi? Nasib Baik Budak2' Sekolah Dari Bangsa Lain Datang Tolong Budak Yg Kena Buli Tu..Kasi Viral Sampai Budak2 Buli Kena Suspend Dari Sekolah_FB Antonio Amadeus
Gejala buli di sekolah tidak boleh lagi dianggap perkara biasa dan perlu ditangani secara serius. - Gambar hiasan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sikap menganggap pengalaman dibuli sebagai perkara biasa kerana pernah dilalui generasi terdahulu perlu dihentikan bagi membendung budaya buli dalam kalangan pelajar.

Pakar Psikologi Kanak-kanak merangkap Naib Canselor SEGi University, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, penerapan nilai empati perlu bermula dalam keluarga dan diteruskan di sekolah bagi memastikan pelajar memahami kesan tindakan mereka terhadap orang lain.

Menurutnya, pengalaman dibuli pada masa lalu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengulangi perbuatan sama terhadap pelajar junior.

“Di sinilah empati penting. Contohnya, ‘biasa sahaja kakak dulu kena, tutup mulut, tidak ada apa-apa pun’.

“Tidak boleh begitu kerana kita perlu ada sifat empati yang perlu kita tanamkan dalam diri anak-anak,” katanya semasa program Fokus Minggu Depan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya nilai empati dapat diterapkan dalam setiap keluarga, ia berpotensi membantu mengurangkan kejadian buli bukan sahaja di sekolah, malah dalam masyarakat secara keseluruhannya.

Katanya, pelajar senior juga mempunyai peranan penting sebagai individu yang sepatutnya melindungi junior, bukannya mengambil tindakan sendiri apabila berlaku pelanggaran peraturan.

“Jika berlaku sesuatu kesalahan, ia perlu dibawa untuk berbincang dan dirujuk kepada guru disiplin terlebih dahulu. Jangan ambil tindakan seolah-olah undang-undang itu di tangan mereka.

“Kadang-kadang buli ini berlaku disebabkan oleh satu perkara kecil yang sebenarnya boleh dibawa berbicara.

“Tetapi disebabkan pengalaman-pengalaman lama yang mungkin datang semula, mereka mungkin pernah dibuli ataupun dendam yang tidak berkesudahan, maka akan tercetuslah ‘time bomb’ dan berlakulah perlakuan buli,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, aspek pengurusan emosi perlu diberi perhatian dan dibimbing sejak awal supaya pelajar mempunyai empati serta mampu mengawal tindakan ketika berdepan konflik.

“Apa yng paling penting adalah emosi itu perlu dilatih, dibimbing supaya adanya elemen empati dalam diri seseorang itu.

“Maka tidak akan berlakulah atau dapat dikurangkan perlakuan buli di sekolah atau di mana-mana sahaja, baik di tempat kerja mahupun bukan di tempat kerja,” katanya. 

Must Watch Video

Advertisement