KOTA KINABALU: Sikap rakyat di negara ini yang mengambil pendekatan tidak ingin menjaga tepi kain orang lain menyebabkan Malaysia berada di belakang di dalam memerangi rasuah berbanding lima negara jiran yang lain.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Kewangan Dua Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan Transparency International Malaysia (TI-M) dalam satu kaji selidik yang menunjukkan hanya 48 peratus rakyat di negara ini cenderung untuk melaporkan kes salah laku rasuah.

“Saya agak terkejut dengan statistik yang di keluarkan oleh Transparency International di mana dalam statistik tersebut yang menyatakan bahawa hanya 48 peratus rakyat Malaysia yang merasakan perlu untuk melaporkan aktiviti ataupun salah laku rasuah.

“Kalau kita lihat dari segi yang lain bermakna 52 peratus yang telah ditemu bual bersedia untuk ''menutup mata' pada salah laku," Masidi berkata.

Beliau turut menggesa agar setiap badan dan syarikat di bawah kerajaan mewujudkan unit integriti sebagai alternatif bagi orang awam melaporkan sebarang kejadian salah laku ataupun aktiviti rasuah selain menjalankan kempen kesedaran mengenai isu tersebut.

“Setiap GLC, setiap badan kerajaan berkanun atau sebaliknya perlu ada unit integriti dan pastikan nombor unit ini diketahui oleh umum.

“Selain melaporkan kepada SPRM orang ramai boleh melaporkan kepada unit ini terlebih dahulu untuk tujuan pembasmian sebarang tuduhan salah laku dalam organisasi-organisasi tersebut.

“Kalau dia takut lapor kepada SPRM sekurang-kurangnya boleh lapor kepada unit ini," ujar Masidi.

Untuk rekod, Malaysia berada di tangga keenam jauh ketinggalan daripada lima negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Thailand, Kemboja, dan Vietnam dalam satu kajian kecenderungan rakyat di negara berkenaan melaporkan salah laku dan aktiviti rasuah.

Daripada senarai itu, Indonesia menjuarai kajian tersebut dengan kecenderungan rakyat di negara itu melaporkan rasuah sebanyak 85 peratus, sementara Myanmar berada di tangga kedua dengan kecenderungan sebanyak 80 peratus.

Thailand dan Kemboja berkongsi tempat ketiga dan keempat dengan 66 peratus yang mana rakyat di kedua-dua negara itu bersetuju melaporkan kesalahan rasuah yang dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial di dalam masyarakat.

Manakala, Vietnam menduduki tempat kelima sebelum Malaysia dengan kecenderungan sebanyak 65 peratus.